Rahmat Ismail

Ketekunan,kesabaran asas kejayaan SRT-EON

Oleh Abdul Halim Yusoff

BAGI kebanyakan usahawan, pinja­man bank adalah sesuatu yang perlu dalam memulakan perniagaan. Namun, Pengerusi SRT-EON Secu­rity Services Sdn Bhd (SRT-EON), Dato' Rahmat Ismail berpendapat di sebaliknya. Beliau tidak percaya dengan kon­sep berhutang untuk memulakan perniagaan. Baginya, lebih baik bermula de­ngan perniagaan kecil, tetapi de­ngan modal sendiri daripada ber­niaga besar dengan hutang yang besar, kerana berpendapat risiko hu­tang besar adalah juga besar.

"Untuk berniaga, pemilik pernia­gaan perlu berdisiplin dan menga­wal diri daripada bersikap boros”.

"Perbelanjaan sendiri perlu turut dimasukkan dalam belanjawan sya­rikat dan cuba sebaik mungkin nembeli barang keperluan pernia­gaan secara tunai," katanya dalam satu pertemuan dengan Berita Harian baru-baru ini.

Kejayaan membangunkan pernia­gaan dengan perit-jerih sendiri tanpa bergantung kepada ehsan Bank memang patut dibanggakan. Usahawan tulin sepatutnya berusaha keras dan berjimat untuk membesarkan perniagaan. Sebagaimana prinsip yang dipe­gang Rahmat: "Jangan biasakan me­rayu kepada bank untuk pinjaman."

"Berusaha keras untuk meneguh­kan perniagaan. Apabila perniagaan sudah teguh, jangan terkejut bank pula akan cari kita," katanya. Bagi beliau, seseorang usahawan perlu mempunyai modal secukup­nya untuk sesuatu perniagaan.

"Jika perniagaan yang mahu dice­buri itu memerlukan modal permu­laan RM50,000 seelok-eloknya se­diakan RM150,000 sebagai perse­diaan modal pusingan.

"Ini bagi mengelakkan perniagaan tidak dapat diteruskan selepas beberapa bulan beroperasi kerana masa­lah tidak cukup modal sementara menanti bayaran daripada pelang­gan," tegasnya. Mengulas mengenai resipinya membangunkan SRT-EON, iaitu an­tara syarikat kawalan keselamatan terkemuka di negara ini dengan lebih 2,000 kakitangan tanpa pinjaman bank, Rahmat berkata, kejayaan itu dicapai hasil ketekunan dan kesabarannya berniaga secara 'ber­tatih-tatih'. Bermula sebagai peniaga kantin di sebuah kem tentera di Sabah pada 1973, sesudah berkhidmat 22 tahun dalam Tentera British dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mo­dal sendiri RM2,500 dan sebuah van mini, beliau berjimat dan beberapa tahun kemudian menubuhkan Syarikat Rahmat Trading Sdn Bhd (SRT). Syarikat itu melihat masalah ketia­daan dan kesukaran mendapatkan akhbar harian di Sabah dah Sarawak sebagai peluang niaga. Sekitar tahun 70-an, mana-mana pelanggan yang mahu melanggan akhbar harian perlu membayar pen­dahuluan sebulan. SRT mengubah keadaan itu de­ngan menjadi ejen utama membawa masuk pelbagai akhbar utama ter­masuk Berita Harian dan New Straits Times. Malah, SRT juga menjadi penge­dar akhbar terawal di Sabah yang menawarkan perkhidmatan peng­hantaran rumah ke rumah. Kos pengangkutan (penerbangan) yang tinggi adalah cabaran utama dalam perniagaan pengedaran akh­bar di Malaysia Timur dan SRT tidak terkecuali daripada masalah itu. Ini menyebabkan harga akhbar berbeza di setiap daerah. Keadaan bagaimanapun berubah apabila SRT berjaya berunding de­ngan Penerbangan Malaysia (MAS) untuk menetapkan kos pengangku­tan untuk semua destinasi di Malay­sia Timur. Bagaimanapun, perubahan dalam corak perniagaan sekitar awal 80-an, apabila syarikat penerbit akhbar membuka sendiri pejabat cawangan termasuk menguruskan sendiri as­pek pengedaran, menjadi titik tolak perubahan bidang perniagaan SRT. Apabila Rahmat kembali ke Kuala Lumpur pada 1982, beliau melihat peluang untuk menubuhkan syari­kat kawalan keselamatan yang mana ketika itu, industri itu di negara ini masih lagi di peringkat 'rebung'.

Berbekalkan kelebihan sebagai bekas anggota tentera dan rekod pembabitannya dalam usaha niaga yang berjaya, beliau berjaya mendapatkan lesen syarikat kawalan kese­lamatan. Dari situlah bermulanya SRT Se­curity Sdn Bhd. Ketika mula beroperasi, Rahmat sedar industri itu tidak mempunyai garis panduan khusus, sekaligus aspek ketrampilan anggota penga­wal keselamatan dan keberkesanan mereka masih tidak begitu mem­banggakan. "Ini adalah industri yang penting kerana ia membabitkan perlindu­ngan kepada harta dan nyawa pe­langgan”.

"Bagaimanapun, selain Akta Ka­walan Keselamatan, tidak ada garis panduan khusus lain untuk dijadikan rujukan ke arah pembaikan mutu perkhidmatan syarikat penga­wal keselamatan”.

"Pengawal keselamatan rata-rata­nya masih mempunyai pemikiran seperti seorang 'jaga', tidak berke­trampilan dan kurang terlatih," katanya. Melihat keadaan itu, bekas staf sarjan yang ketika ini adalah Presiden Persatuan Pengawal Keselama­tan Kebangsaan Malaysia (PPKKM) mengambil inisiatif merangka garis panduan khusus untuk industri ke­selamatan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM). Garis panduan itu mengguna pa­kai pelbagai teknik yang diamalkan industri yang sama di luar negara. Kewibawaan SRT mendapat pengiktirafan pihak luar yang me­merhatikan peningkatan sebuah syarikat kawalan keselamatan Bu­miputera. Dengan itu, pada 1992 Edaran Otomobil Nasional (EON) yang se­dang membangunkan unit kawalan keselamatannya mengambil kepu­tusan membeli 40 peratus kepenti­ngan dalam SRT Security. Justeru, bermulalah 'perkahwinan' yang melahirkan SRT-EON. Industri kawalan keselamatan di Malaysia pada awalnya dipercayai diwariskan daripada British mene­rusi syarikat Securicor sebelum lahirnya beberapa nama besar syarikat tempatan seperti Safeguards, Tuah Guards, Securiforce dan Mahmood Security. Industri yang pada awal 80-an hanya pada peringkat permulaan bagaimanapun kini sudah mema­suki peringkat tepu kerana terlalu ramai peserta.

Pada awal 80an dipercayai hanya ada kira-kira 100 syarikat, tetapi jumlah itu meningkat kepada antara 220-230 pada 2002. Rahmat berkata, industri kawalan keselamatan boleh mencapai tahap profesional sepenuhnya seperti di beberapa negara asing termasuk Amerika Syarikat dalam tempoh lima tahun akan datang dengan ada­nya perhatian kerajaan dan komit­men peserta industri meningkatkan kepakaran anggota menerusi latihan yang berterusan dan sistematik. Bagaimanapun, kehadiran terlalu ramai peserta industri dalam pasa­ran yang sempit boleh mencetuskan beberapa masalah. Ini termasuk kesukaran menda­patkan tenaga kerja, mutu perkhid­matan yang tidak setara kerana masalah perang harga sesama peserta industri terutama daripada syarikat yang memajak lesen orang lain.

 
Product Finder
 
Quick Links  
Enter your search:

WWW SRT
About Us  
Branches  
Products & Services  
Careers  
Training  
Newsroom  
    Press Releases
    Biography
    Interviews
    Event+Activity
    Image Gallery
    Cover Story
 
 
Copyright ©2003-2005 SRT-EON Security Services.All rights reserved.